"TERIMA KASIH KERANA SUDI MELAYARI BLOG INI.....SELAMAT MEMBACA...KISAH INI SEKADAR UNTUK SAYA BERKONGSI PENGALAMAN SAYA MENJADI PEMINAT SETIA ARWAH SUDIRMAN HJ ARSHAD...PENGHIBUR YANG SUKAR DI CARI GANTINYA........."

Monday, March 7, 2011

Monday, January 24, 2011

Aku Dan Abang Sudir





Aku mengenali Abg. Sudir sejak Abg. Sudir bertanding di Bintang RTM lagi. Waktu itu aku masih bersekolah rendah. Tapi seronok sangat melihat gelagat seorang peserta lelaki yang lincah menari sambil menyanyi. Bersuara lantang dan lepas. Pada aku di saat itu, Abg. Sudir sangat comel. Bapak siap berkata "Budak ni rasanya boleh menang". Dan Sudirman Hj. Arshad diumumkan sebagai juara Bintang RTM 1976 pada malam itu. Mungkin disebabkan pada waktu itu media massa agak terhad,  perhatian ku pada Abg. Sudir selepas itu agak terbatas. Tambahan lagi aku masih budak-budaklah katakan.  Lebih sibuk dengan alam kanak-kanakku. 
Tapi lama-kelamaan lagu-lagu merdu  Abg. Sudir mula menarik minatku. Adalah satu radio buruk di rumah ku waktu itu. Aku memang gemar menyanyi bersamanya. Aku mula menyanyi dan terus menyanyi lagu-lagu Abg. Sudir. Bagi kebanyakkan lagu, bunyi intronya sahaja aku sudah tahu lagu apa. Namun payah juga ketika itu untuk berintraksi dengan penyanyi yang kita minat. Cuba menulis surat tapi hendak ku kirim ke mana? Aku serba tidak tahu waktu itu. Keluarga memang tahu aku sangat meminati Abg. Sudir. Tapi pandangan mereka amat berbeza. "Suka sangat dengan Sudirman! bukan boleh kahwin dia". Bapak selalu cakap macam tu! Susah hendak ungkapkan perasaan ini. Suatu pagi bapak lempar surat khabar di hadapanku. Utusan Melayu (Jawi). "Dah kawin dah Sudirman tu". Bapak berlalu sambil menyindir dan ketawa. Mungkin sebelum itu aku  jarang sekali membaca majalah hiburan. Majalah bukan "benda" yang Bapak suka beli. Selalunya hanya ada Utusan Melayu, jawi pulak tu. Sampai lancar aku baca tulisan jawi . Hai! Nampaknya aku sudah ketinggalan begitu jauh rupanya. Segala  kisah-kisah awal Abg. Sudir banyak yang aku tidak tahu.  Tapi Bapak waktu itu agak pelik juga kerana melihat aku seronok membaca berita perkahwinan Abg. Sudir itu. Cantiknya isteri dia. Andainya aku boleh ucap tahniah kepada Abg. Sudir, alangkah bagusnya! Tapi bagaimana caranya ya?.

Waktu telah membawaku ke alam remaja. Ramai penyanyi  baru yang menjelma. Minat juga pada mereka. Tapi setiap kali Abg. Sudir muncul di kaca tv atau jika ada saja cerita terbarunya, aku tidak akan lepas peluang menatapnya. Insan itu begitu  istimewa di hatiku. Namun masih lagi belum menulis apa-apa untuk Abg. Sudir.  Tapi aku mula pandai mencari cerita-cerita Abg. Sudir. Tidak kisahlah di mana  saja ada cerita Abg. Sudir, aku akan baca. Kalau berpeluang aku akan gunting dan simpan. Sehinggakan di klinik gigi yang berkali ku pergipun akan ku belek lagi majalah lama yang ada cerita Abg. Sudir. Walau cerita yang sama. Kenapa ya, tak jemu baca. Kisah rumah tangganya yang bahagia ketika itu pun aku suka sangat membacanya. Waktu itu aku bagai kemaruk mengumpul gambar-gambar Abg. Sudir  dari majalah mahupun surat khabar. Sehinggakan alas nasi lemak yang ada gambar Abg. Sudirpun aku akan ambil. Satu hari di rumah Makcikku, aku dipuji sebagai anak dara yang rajin kerana menukar alas dapurnya dengan suratkhabar yang bersih. Makcik tak tahu hingga kini yang gambar Abg Sudir ada di situlah punca kerajinanku. Tidak sanggup hendak biar gambar Abg. Sudir di bawah dapur!. Maka teballah fail dalam laci bilik dengan keratan gambar serta cerita Abg. Sudir. Pernah ketika aku menginap di asrama sekolah, selain keperluan harian, gambar-gambar Abg. Sudir yang aku susun cantik pada beberapa keping manila card adalah benda yang penting untuk aku bawa bersama. Aku menampalnya di dinding sebelah katilku. Sehingga teman satu dome seronok melihat. Macam muzium Sudirman kata mereka. Sememangnyalah aku tidak akan melepaskan peluang untuk menonton setiap persembahan Abg. Sudir di kaca TV. Pernah satu ketika dulu, susah payah seorang temanku termengah-mengah memanjat tangga asrama dengan pantas, semata-mata mahu memanggilku yang ketika itu di bilik air, hanya  untuk memberitahu rancangan Abg. Sudir yang aku tunggu sudah bermula. Di asrama itu TV satu-satunya ada dekat dewan belajar di tingkat bawah. Basah rambah aku ke bawah.Terima kasih sahabatku. Ada juga teman yang tolong kumpulkan gambar-gambar Abg. Sudir dan dikirim kepadaku melalui pos.
Sesungguhnya aku tidak keseorangan ketika itu. Malah teman-temanku secara sukarela membawa pelbagai khabar Abg. Sudir kepadaku. Waktu sekolah manalah ada duit hendak beli  beraneka majalah. Jadi mana-mana cerita yang aku terlepas pandang tanpa diminta berita itu akan ku ketahui juga. Bestkan! 


Suatu ketika sewaktu malam sebelum majlis kenduri kahwin abangku, aku dimarahi bapak kerana menukar plug lampu khemah kepada plug TV. Mana boleh!  Konsert Abg. Sudir dah mula, takkan tak tengok. Dah berhari menanti. Menjerit orang satu khemah kegelapan. Walau suasana agak kecuh ketika itu, aku tatap utuh duduk di hadapan TV dan apabila salah seorang Makcikku masuk ke bilik tidurku, dia berteriak "Patutlah" Sebab ada poster besar dan gambar Abg. Sudir penuh sekitar almari. Kenalan rapat aku, rasanya sehingga kini andainya ada saja cerita tentang Sudirman, mereka akan teringatkan aku! Sampai macam itu sekali!. Sebenarnya ada juga beberapa perkara pelik berlaku sepanjang aku mengenali Abg. Sudir. Setiap kali aku teringin sangat untuk menekan punat TV atau radio, sering kali itulah Abg. Sudir dan nyanyian Abg. Sudir yang akan berkumandang. Beberapa ahli keluargaku selalu bertanya “Mana tahu ada cerita Sudirman”. “Entah!” itu sahaja yang mampu aku jawab. Di katilku ada sebuah radio kecil. Kerap kali juga bila aku putar suisnya, suara Abg. Sudir ada di situ. Sedang ditemuramah, menyanyi atau apa sahaja mengenainya. Walhal sebelumnya aku tidak tahu yang Abg. Sudir akan bersiaran. Semuanya membuatkan jiwa ini bertambah dekat dengan Abg. Sudir. Tapi waktu itu tiada apa yang perlu aku hairankan. Sebab Abg. Sudirkan seorang yang popular. Ironinya setelah bertahun-tahun ketiadaannya pula, akulah orangnya yang sering ketinggalan jika ada ulang tayang rancangan Abg. Sudir di kaca TV! Walaupun aku sudah sedia maklum akan waktu siarannya!.


Mahu dipendekkan cerita, ketika aku di tingkatan empat barulah aku berpeluang menulis surat buat Abg. Sudirku. Itupun melalui syarikat rakamannya EMI. Aku  ingat lagi kawanku Shamsiah yang bagi alamat EMI itu kepadaku. Saudaranya bekerja sebagai wartawan di KL katanya. Wah! bagai nak rak aku mengarang surat pertamaku. Aku kepilkan satu sampul surat kosong bersetem bagi memudahkan Abg. Sudir membalas suratku nanti. Dalam hati ini memang mengharap sangat akan balasan surat itu. Aku mula berangan-angan Abg. Sudir membaca suratku yang menjela. Namun angan-anganku terhenti seketika kerana disaat itu jualah Abg. Sudir dikhabarkan sakit dan dimasukkan ke hospital (Tawakkal KL). Tidak tentu arah perasaan aku ketika itu. Hai! Baru nak utus surat, Abg. Sudirku dah sakit?. Nak pergi ke KL merupakan sesuatu yang mustahil. Masa itu surat khabar menjadi bahan bacaan wajib untuk aku mendapatkan perkembangan lanjut tentang Abg. Sudir, jika ada. Tapi gundah gulanaku itu tidak lama. Sebab Abg. Sudir mambalas surat pertamaku!. Bertuahnya badan. Ingat lagi ketika itu aku mengunakan nama samaranku Maznira, kombinasi nama aku, emak dan bapak. Namaku Maznah, bapak Abd. Ghani dan emak ku Ara. Macam mana aku dapat idea ini, aku tidak pasti. Yang penting untuk Abg. Sudir mesti yang special, lain dari yang lain. Masalah mula timbul apabila surat itu ditemui dahulu oleh  abang sulungku. Dia ini amat perihatin dengan surat-surat untuk adik perempuannya! Dia sibuk membaca nama penerima pada sampul surat itu. Tertera nama Maznira Abd. Ghani. “Ini mesti tersalah orang”. Kata abangku. Waktu itu macam ada petir di cuping telingaku. Sampul surat itu berwarna putih. Bukan warna coklat seperti yang aku kepilkan. Itulah Abg. Sudir. Dia tidak berkira soal itu jika mahu membalas surat buat peminatnya.


 Bila aku berjaya merebut surat dari tangan abangku, Wah..! ada gambar Abg. Sudirlah di sebalik surat. Kecoh satu rumah. Penyanyi terkenal mengirim  surat!. Menggigil seluruh tubuh. Ya Allah! tidak tahu apa hendak diucapkan. "Buat Maznira, semoga sihat di samping keluarga. Belajar rajin-rajin. Abg. Sudir sakit, baru dibedah. Doakan Abg. Sudir cepat sembuh ya, Salam Sayang Dari Abang Sudir" ringkas te...ta...pi sung.....guh bermakna padaku ketika itu. Aku menangis kegembiraan. Ku genggam erat surat ke dadaku. Macam baru dapat surat cinta.  Teruja sangat. Aku baca berkali-kali. Itulah antara saat yang paling indah dalam hidupku. Dalam pada itu Abg. Sudir beransur pulih seperti sedia kala. Alhamdulillah.  


Mulai saat itu, Abg. Sudir merupakan di antara insan terpenting dalam hidupku. Setiap kata-kata nasihatnya merupakan azimat yang cukup berharga. Suka duka Abg. Sudir aku turut  kongsi bersama walaupun dari jauh. Aku sanggup menjadi “kerani sementara bapaku” (bapak sering membawa kerja-kerja pejabatnya ke rumah) hanya untuk mengumpul wang bagi membeli kaset-kaset terbaru Abg. Sudir. Aku juga turut bersedih ketika Abg. Sudir gagal dalam perkahwinannya. Dari jauh...ku pohon doa kepada Allah agar Abg. Sudir bertemu kebahgiaan. Tapi takdir untuk Abg. Sudir telah disuratkan olehNya. Kesian Abg. Sudir. Namun aku merasa sungguh terharu kerana Abg. Sudir masih mampu memberi hiburan pada orang lain sedangkan  di dalam jiwanya bersarang kekecewaan! Waktu itu aku memang suka semua lagu-lagu Abg. Sudir, kecuali lagu "Salam Terakhir".  Pernah aku nyatakan pada Abg. Sudir akan hal ini melalui surat. Macam lagu orang nak mati saja! Marahku. Bukankah aku selalu mengharapkan Abg. Sudir bahagia! Tapi tiada apa-apa komen dari Abg. Sudir.




Sewaktu aku berada di Tingkatan Enam, sekolahku menganjurkan sebuah konsert amal. Aku yang begitu baik dengan salah seorang guru yang terlibat waktu itu, beriya-iya benar mengesyorkan agar memilih Sudirman menjadi penyanyi undangannya. Cadangan ku disambut baik. Namun atas beberapa masalah kata guruku, cadangan aku tidak dapat ditunaikan.  Aku yang di kehendakki bertugas pada malam amal tersebut, berasa tidak seronok. Nasib baiklah salah seorang penyanyi yang hadir malam itu, Francissca Peter. Dapat juga membuat hatiku sedikit terubat kerana aku juga meminatinya. Jauh di sudut hati ini......sekiranya Abg. Sudirlah yang datang....alangkah!
Aku merasa tidak puas hati dengan incident itu. Tibalah saatnya aku harus melakukan sesuatu. Aku terlalu ingin bertemu dengan Abg. Sudir. Aku terus menulis surat kepada  Abg. Sudir menyatakan hasrat hatiku untuk menonton konsertnya di depan mataku. Seingat aku, Abg. Sudir waktu itu memang  sudah lama tidak turun ke JB untuk sebuah konsert. Tidak tahulah kenapa. (kalau adapun mungkin ketika aku masih terlalu kecil). Aku menulis bersungguh-sungguh dan selang beberapa bulan aku mendapat khabar Abg. Sudir akan mengadakan konsert solonya di RTM JB, atas tajaan Salem. Waktu itu mahu sahaja aku berteriak pada semua insan yang aku temui. “SUDIRMAN AKAN MENGADAKAN KONSERT DI JB!”. Ah! apapun aku mesti bertemu Abg. Sudirku. Aku mula melukis potret Abg. Sudir, walaupun aku bukannya pandai melukis. Tapi Abg. Sudir selalu berpesan. Kalau mahu bagi sesuatu pada Abg. Sudir, cubalah lukis sendiri. Tak cantikpun tak apa. Abang akan terima. Ini satu point kenapa aku harus bertemu dan berdepan dengan  Abg. Sudir nanti! Aku ingat lagi waktu itu promosi konsert Abg. Sudir memang tidak meluas. Ramai teman-temanku tidak percaya. Aku dapat tahupun setelah aku terbaca sebuah poster sebesar A4 saiz yang dilekatkan di tiang sebuah perhentian bas! ( Dan rasanya ingin aku marah pada wartawan yang menulis di surat khabar sehari selepas konsert,  kononnya kehadiran Abg. Sudir ke JB tiada sambutan). Namun diawalnya, aku tidak kisah walau apa jua bentuk promosinya, yang penting Abg. Sudir akan datang dan aku akan bertemunya! Aku sanggup berlapar beberapa hari di sekolah hanya kerana mahu membeli tiket untuk ke konsert itu. Tidak kisahlah bersusah payah pergi ke pejabat RTM JB untuk mendapatkan tiket tersebut,  sehari sebelum konsert bermula.

Hari dan waktu yang ditunggupun tiba. Potret sudah aku siapkan. Disebabkan aku masih bersekolah dan tidak suka meminta sesuatu yang bukan untuk belajar, aku buat sendiri frame potret itu. Kalau diingatkan kembali, kelakarlah bentuknya. Malam konsert pada hari Ahad. Aku berpakat dengan kakakku Maimon, yang juga meminati Sudirman (walau tidaklah sehebat aku). Sebab aku takut pergi sendirian di malam hari. Lagipun bapak tentu tidak akan izinkan. Kakak sudahpun berkahwin, dihantar suaminya dan aku dihantar abang ku. Kami masing-masing  menaiki motosikal. Sewaktu Abg Sudir muncul, (Walau lewat dekat sejam) aku bagaikan mahu menjerit. Kalaulah aku ini orang barat pasti aku sudah pengsan!. Macam di konsert Michael Jackson tu! Sepanjang konsert aku tidak kisah menyanyi kuat ikut nyanyian Abg. Sudir di atas pentas. Kenapa tidak? Setiap lirik lagu ada di dalam jiwaku. Wah! Seronok bukan kepalang disaat itu. Abg. Sudir menyanyi dan menari serupa 
macam dalam TV. Suara Abg. Sudir


sebijik macam dalam keset-kasetnya. Terhibur sungguh aku dan kakak. Sempat juga aku menjeling kiri dan kanan di sebalik cahaya yang balam-balam malam itu. Ternyata penonton lain juga terhibur. Dalam kesempatan itu aku bersyukur kerana Allah memakbulkan niatku untuk melihat Abg. Sudir beraksi di atas pentas di depan mataku. Pentas yang sama sewaktu Konsert Amal berlangsung beberapa bulan yang lalu. Waktu berjalan sangat pantas.  Seperti biasa Abg. Sudir akan memanggil beberapa peminat kecilnya naik ke atas pentas dan ada juga seorang dua peminat sebaya ku. Di sebabkan kedudukkan aku dan pentas agak jauh, peluang untuk aku naik ke atas pentas di kala Abg. Sudir mengundang peminat, memanglah tipis. Jadi giliran aku berjumpa Abg. Sudir bila pula ya? Hatiku mula memberontak. Walau berat rasa kaki ini, aku melangkah juga menuju ke arah pentas. Kakak puas melarang kerana takut aku dihalau pasukan Rela yang berkawal. Tapi niat bertemu Abg. Sudir lebih kuat dari  semua itu! Bila lagi? Inilah waktunya. Aku bertekad dan berdoa pada Tuhan berilah aku kelapangan. Entah mengapa malam itu, petugas Rela itu dengan rela melepaskan aku naik ke pentas dengan tanpa dihalang. Malah tiada timbul masalah langsung.




Masih aku ingat lagi Abg. Sudir  mula perasan akan kehadiranku yang tiba-tiba di hujung pentas. Abg. Sudir memandang tepat ke arahku. Dan aku seperti sudah berada di dunia yang lain!  Kakiku bagai berada di awangan. Kami mula mendekat dan aku terus menyambut salam Abg. Sudir. Sikap ramah Abg. Sudir membuatkan aku seperti sudah biasa berdepan dengan penyanyi nombor satu negara itu. Aku memberitahu namaku Maznira. Ah! berkali ku ulang. Lucu Abg. Sudir tidak pandai menyebut "Z" pada namaku dengan betul. Di panggilnya aku Masnira. Aku tekankan suara dan Abg. Sudir mengangguk dua tiga kali, tanda faham.  "Teman Abg. Sudir ke depan" Abg Sudir bersuara sambil memimpin tanganku dan aku terus hanyut entah ke mana. Pertama kali dipancar lampu sport light kakak kata aku macam orang gila. Tapi aku tidak perasan itu. Aku dengar juga orang bersorak dan bertepuk tangan. Namun aku sudah benar-benar hanyut waktu itu.  Kami masih berpegangan tangan, tidak mahu lepas. Memang Abg. sudir sangat sayangkan peminatnya! Maka Abg. Sudir mula menyanyi. Lagu “Salam Terakhir”. Ah! tak apalah, malam ini Abg. Sudir kan ada di depan mata! Dah tak kisahlah lagu apa! Walau aku tidak suka lagu itu, aku menyanyi juga. Lebih-lebih lagi Abg. Sudir sesekali menghulurkan microphone ke arah mulut ku. Semua orang tidak tahu tangan kami saling mengenggam antara satu sama lain. Erat sekali dan agak kuat sekali sekala. Tiba-tiba Abg. Sudir tersedak-sedak sedikit. Tanpa berlengah kuurut belakang Abg. Sudir dengan tangan lagi satu.  Abg. Sudir terhenti menyanyi seketika.  Pelek bunyinya. Tapi itulah yang berlaku. Hanya Allah yang tahu. Aku tidak akan biarkan insan ini tersedak terus di depanku! Ketika tiba saatnya Abg. Sudir melepaskan aku, kukucup tangan Abg Sudir tanda aku sangat menyanjunginya dan dengan pantas Abg Sudir menundukkan diri. Aku merasa agak janggal bila Abg. Sudir merendahkan dirinya begitu di hadapanku. Tiada kata lagi dariku untuk menterjemahkan siapa Abg Sudir di saat itu. Sambil menganggukkan kepala dan tersenyum, Abg. Sudir bersuara "Nathan give her something special". Aku pasti kalau Nathan ada dia tentu ingat kerana dialah yang beri aku beberapa gulung poster Abg. Sudir yang siap bertanda tangan. (Sebenarnya setiap peminatnya yang berpeluang jumpa, akan diberi satu poster). Tapi aku tidak kisah itu. Masih jelas di mataku susah payah Nathan menyelongkar beg pakaian Abg. Sudir  sambil  bersuara, "Semua ni baju dah berpeluhlah". Bertaburan pakaian Abg. Sudir dibuatnya. Aku menunggu sambil tersenyum dan membalas kata-kata Nathan "Never mind it’s ok”. Bagiku dikala itu pertemuan aku dan Abg. Sudir sudah cukup istimewa. Kalau diingatkan kembali, andainya  Nathan beri "something" yang Abg. Sudir maksudkan, alangkah bertuahnya aku kini! Apapun padaku malam itu merupakan malam khas buatku! Esoknya aku ke sekolah dengan hati yang sungguh berbunga-bunga! Di bibirku tidak lekang dengan senyuman sepanjang hari!. Duniaku ketika itu sudah dilingkari sejenis cahaya yang berwarna-warni. Meriah sekali!.

Selepas malam itu, bermulalah episod pertemuan seterusnya antara aku dan Abg. Sudir. Abg. Sudir sudah mula rancak ke JB. Rasanya aku tidak pernah ketinggalan walau satupun, setiap kali Abg. Sudir turun ke JB selepas konsert di RTM JB itu. Yang kedua di Stadium Larkin. Aku ingat lagi. Aku sudah bekerja sementara ketika itu. Sudah mampu beli sejambak bunga. Kuselitkan juga surat. Aku tahu peluang untukku berbual dengan Abg Sudir pasti mustahil. Tetapi untuk tidak berdepan dengan Abg. Sudir setiap kali Abg. Sudir ke JB adalan sesuatu yang amat merugikan aku. Dan...sekali lagi aku berpeluang naik ke pentas untuk bergambar. (walau terpaksa merentasi selautan manusia dan aku masih terasa lagi azabnya!). Nasibku sangat baik kerana kebetulan Abg Jeffri Iran ada, hampir di setiap kali Abg. Sudir turun ke JB. Melalui konsert pertama, aku berkenalan dengan jurugambar Majalah URTV itu dan dia baik sekali pada ku. Terima kasih Abg. Jeff. Semoga sihat walau di mana sahaja berada!


Seingat aku hanya sekali sahaja Abg. Jeff tidak muncul. Iaitu semasa Abg. Sudir mempromosikan album terbarunya (dan terakhir)- Asia’s No. 1 Performer. Waktu itu Abg. Sudir datang dengan bertongkat akibat kecederaan di kaki semasa pengambaran video clip untuk album tersebut. Gelihati aku melihat aksi Abg. Sudir menari dengan hanya menggunakan sebelah kakinya sahaja di atas pentas. Kehadiran Abg. Sudir petang itu amat singkat sekali namun aku sempat juga bersalaman dengan Abg. Sudir di akhir promosi album tersebut.
Ketika Abg. Sudir mengadakan promosi air minuman SUDI, tanpa pengetahuanku Abg Sudir ke JB sekali lagi. Namun seperti biasa aku ada informer yang setia. Jadi aku masih tidak ketinggalan di situ. Aku bingkas ke Holiday Plaza sebaik sahaja pulang dari pejabat. Ingat lagi ketika itu aku tidak berapa sihat tapi anehnya jadi pulih selepas Abg. Sudir muncul di pentas. Teman yang ada bersama ketika itu mengerutkan dahi. Dan dia seakan tidak percaya jika aku mampu  bergambar lagi dengan Abg. Sudir di atas pentas. Mengapa tidak. Bagiku Abg. Sudir bukannya asing dalam hidupku. Dengan selamba kuheret tangan teman dan naik terus ke atas pentas. Sesungguhnya Abg Sudir memang seorang penyanyi yang terbaik!. Kami berjaya bergambar. Ku lihat temanku begitu teruja. Namun aku... merasa macam biasa sahaja! Lihatlah betapa sikap dan keperibadian Abg. Sudir telah menjadikan dirinya begitu dekat di hati peminat setianya.
Dalam pada itu, aku mula mengumpul tin minuman SUDI. Walau di manapun aku minum, tidak akan ku buang tin itu. Eh! sayang nak buang. Aku juga berpeluang pergi dan beli sehelai dua baju dari Sudir Shoppe di Plaza Kota Raya pada masa itu. Begitu juga dengan buku     "Dari Dalam Sudirman" dan “ Sejarah Sudirman” yang siap bertanda tangan Abg. Sudir. Aku beli buku itu dari Abg. Sudir sendiri melalui pos. Dan aku tidak putus-putus mengirim surat buat Abg. Sudir. Ada berkeping-keping kad dan poster yang Abg. Sudir kirimkan kepadaku. Tapi di manakah barang-barang itu kini?. Terlalu sedih untuk aku ceritakan di sini.
Ramai orang berkata aku terlalu taksub sehinggakan setiap kali jejaka yang ingin menghampiriku, akan ku tanya apa pandangannya pada Sudirman. Itu salah satu kriteria yang aku perlukan. Andainya pendapat mereka nagatif, alamat kena tinggallah! Padaku seseorang lelaki itu positif jiwanya jika dia memandang Abg. Sudir dangan cara yang positif. Mengapa tidak Abg. Sudir insan yang baik apa!. Jadi satu formula pula untuk aku mencari teman lelaki!  Hebatkan Abg. Sudir...
Sewaktu Abg. Sudir jatuh sakit, aku sangat menderita. Tohmahan demi tohmahan yang aku dengar. Dari pejabat hinggalah di dalam bas, orang tidak henti bercakap yang bukan-bukan. Tapi masa itu perasaan aku sangat kuat menyatakan Abg. Sudir tidak begitu dan Abg. Sudir ada di Lucky Garden Bangsar (aku dapat alamat itu dari Abg. Sudir sendiri ketika konsert di RTM JB) Aku utus surat ke situ. Ketika itu aku sering menangis setiap kali orang sekelilingku bercerita buruk terhadap Abg. Sudirku. Apalah dayaku untuk aku menutup mulut-mulut celupar itu? Ya Allah selamatkanlah insan istimewa ini. Jiwaku tidak tenteram sepanjang Abg. Sudir sakit. Setiap hari aku berdoa pada Allah sembuhkanlah Abg. Sudirku. Aku tidak pernah hirau apa orang lain kata. Kalaulah ada dayaku, aku ingin sekali bertemu dengan Abg. Sudir di kala itu. Tidak kisahlah apa jua rintangannya. Tapi siapalah aku ini?. Insan yang terlalu kecil di dalam dunia Abg. Sudir. Air mata ini sudah banyak tumpah sebelum berita kematian Abg. Sudir ku terima. 


Pagi hari Sabtu jam 11.15, bertarikh 22/2/1992, aku masih di pejabat ketika itu. Hari itu  aku bekerja separuh hari.  
Kebetulan pada tarikh itu ulangtahun kelahiran adikku. Kami merancang untuk makan tengahari di luar bersama. Seorang sahabatku Zaidah menaliponku, "Maz, you dengar tak berita radio Singapura? Ada cerita tentang Sudirmanlah! Sudirman dah meninggal". Waktu itu seperti ada bom atom yang meletup dalam tubuhku dan aku seperti mahu pitam. Aku terduduk kaku dan semua teman sepejabatku hairan. Segala-gala yang ada di hadapanku seperti kapas yang terapung-apung. Dunia hiburan pada ketika itu sudah gelap segelap-gelapnya. Tidak ada lagi yang dinamakan nyanyian. Dunia hiburan sudah kosong, kaku, beku dan  Abg. Sudir bagai serpihan yang berterbangan di udara. Aku menangis sepuas-puasnya sepanjang perjalanan pulang ke rumah dan air mata ini tidak henti-henti mengalir, malah lebih banyak dari sebelumnya. Segala rancangan yang diatur hari itu menjadi hambar. Puas teman dan adik memujuk.


Setibanya aku di rumah, aku kurung diri di dalam bilik. Malam itu setelah hampir berjam-jam di kamar, aku keluar menatap peti TV. Ada berita pengkebumian Abg. Sudir. Rasanya  diriku  sudah masuk ke dalam TV masa itu. Emak yang berleter sejak siang tadi terhenti. Semua isi rumah terdiam. Dan aku terus menangis. Tiada apa yang perlu diperkatakan lagi. Abg. Sudirku sudah meninggal. Insan yang menjadi idolaku telah pergi untuk selamanya. Sebahagian dari diri ini telah tiada. Insan yang bertahun-tahun menjadi penghiburku telah bersemadi kaku. Perkataan Arwah di hadapan nama Abg. Sudir tidak tergamak untuk diucap. Saat yang ku takuti terjadi jua akhirnya. Hampir berbulan lamanya aku tidak mahu menonton rancangan hiburan di TV dan mendengar nyanyian di radio. Tidak sanggup untukku dengar suara nyanyian Abg. Sudir. Atas permintaan bapaku, ku turunkan semua poster yang tertampal di dinding kamar. Aku simpan semua kaset-kaset Abg. Sudir di sebuah kotak bersama semua poster, kad, surat dan segalanya. (Walaupun sungguh berat untukku lakukan itu). Hatiku sayu dan luluh melihat semuanya di depan mataku. Namun orang sekeliling tidak faham perasaan aku ketika itu. Aku bukannya taksub. Mereka memang tidak faham. Hari-hari yang mendatang aku lalui dengan perasaan yang suram. Aku seperti kehilangan sesuatu yang aku sendiri tidak pasti. Macam-macam sindiran yang aku terima  kerana terlalu sedih dengan pemergian Abg. Sudir. Sudirman terlalu istimewa sehingga meninggalkan kesan yang mendalam, di dalam hidupku. Dia bukan orang yang aku cintai bagai kekasih. Tapi Abg. Sudir memiliki aura yang tersendiri di hatiku. Sayangku adalah sayang yang sejati. Terpatri kukuh di hati. Kasih sayang yang sangat murni. Aku pasti inilah anugerah Tuhan buat Abg. Sudir. Abg Sudir seorang abang yang pengasih. Seorang penghibur yang ikhlas. Seorang insan yang sangat istimewa. Dia telah dipinjamkan oleh Allah untuk kita semua di Malaysia. Walau seketika cuma....
Sebenarnya dulu aku ingin menjadi seorang wartawan. Ketika hayatnya Abg. Sudir, aku sedang cuba berusaha  ke arah itu dan aku berjanji orang pertama untukku menemuramah secara rasmi, adalah Abg. Sudir sendiri. Padaku dengan cara itu juga aku akan mudah mendekati Abg. Sudir. Namun semuanya hilang entah ke mana. Buat apa aku ke sana, Abg. Sudirku sudah tiada di situ! Cita-citaku menjadi remuk dan berkecai...
Sebelum Abg Sudir jatuh sakit,  aku telah menyediakan sekeping kad ucapan Selamat Hari Raya buat Abg. Sudir untuk tahun 1992. Sememangnyalah sejak dulu lagi, kad ucapan Hari Raya untuk Abg. Sudir siang-siang sudah aku sediakan. Ada juga yang aku hasilkan sendiri. Tahun itu kad itu tetap akan aku kirim. Tetapi kepada kakak Abg. Sudir, iaitu  Kak Rudiah, berserta surat lakaran kasar buat Abg. Sudir yang telah aku tulis awal-awal. Melalui alamat di Bangsar, dan Kak Rudiah membalasnya. Terima kasih Kak!
Abg. Sudir selalu berpesan jika kita menyayangi seseorang, kita hendaklah menyayangi orang yang disayang oleh orang itu. Salam sayang buat Kak Rudiah sekeluarga. Al-Fatihah buat Allahyarham Sudirman Hj Arshad.....Semoga Rohnya di tempatkan bersama-sama orang yang beriman di sisi Allah Ta'ala. Amin.


Abadi Di Hati : Maznah Hj Abd. Ghani (Johor Bahru)